PENGENALAN
Pendidikan adalah salah satu agenda besar yang boleh mempengaruhi kualiti dan ketamadunan sesebuah bangsa di dunia. Manusia akan dianggap mundur sekiranya tiada pendidikan. Individu dan keluarga yang berilmu dan meletakkan ilmu sebagai cara hidup akan lebih mudah membuat satu keputusan yang tepat (Wan Hassan 2007). Ikatan silaturahim dalam keluarga dan masyarakat juga akan menjadi lebih kukuh. Pendidikan dalam sesebuah masyarakat memerlukan sistem nilai yang mampu dikembangkan dan disuburkan supaya warganya memiliki etika yang tinggi dalam kehidupan. Pendidikan juga merupakan satu proses menimba ilmu terpenting dalam kehidupan manusia. Proses pendidikan akan berlaku di sepanjang hayat manusia. Bermula di dalam kandungan ibu sehingga akhir hayat. Fasa pendidikan tersebut akan berlangsung dalam kehidupan manusia sama ada secara formal ataupun tidak formal. Pendidikan bermaksud satu proses menyampai dan menimba pengetahuan untuk membangunkan daya intelek dan keyakinan diri manusia. Oleh hal yang demikian, akan meningkatkan kematangan untuk memberikan pendapat dan berhujah semasa menjalani kehidupan sebenar. Oleh itu, secara ringkasnya pendidikan memberi maksud segala pengalaman yang diperoleh melalui pancaindera memberi kesan kepada pemikiran manusia. Maklumat yang diterima secara berstruktur akan membentuk fizikal dan tingkah laku manusia. Pengetahuan, kemahiran dan nilai murni akan diwarisi dari generasi ke generasi dalam proses membangunkan ketamadunan negara bangsa secara berterusan.
No comments:
Post a Comment